PUKUL ISTERI GUNA TOPI KELEDAR, LELAKI DIPENJARA 15 BULAN

GUA MUSANG: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 15 bulan di Mahkamah Majistret di sini semalam, selepas didapati bersalah memukul isterinya menggunakan topi keledar, pada 25 Januari lalu.

Tertuduh Mohd Shamsuri Rokman Yusuf, 35, sebelum itu mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja memukul isterinya Siti Norhashikin Che Mat, 35, menggunakan topi keledar berwarna merah di hadapan kedai makan di Paloh 2 pada jam 5 petang pada 25 Januari lalu.

Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman itu.

Manakala bagi kesalahan Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, hukumannya penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan kesalahan mengikut seksyen yang relevan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Firdaus Abdul Hamid.

Terdahulu Ahmad Firdaus merayu hukuman terhadap Mohd Shamsuri dikurangkan kerana mempunyai tanggungan lima anak dan menjaga ibu sakit.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan bermula daripada tarikh ditangkap pada 28 Januari lalu.

Media sebelum ini melaporkan lelaki yang tular memukul wanita di hadapan sebuah kedai makan pada khamis lalu, akhirnya ditangkap di sebuah rumah di RKT Kesedar Paloh 2.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo dilaporkan berkata suspek berusia 35 tahun ditahan pada jam 2.30 petang 28 Januari lalu.—AlHijrah Online

Leave a Reply