SAMBUTAN MA’AL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN DIADAKAN DI MASJID NEGARA ESOK

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini memaklumkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M akan diadakan pada Rabu bersamaan 28 Zulhijjah atau 19 Ogos di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya berkata majlis itu akan bermula pada jam 5 petang dan ia akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong AI-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Mengiringi baginda, Kebawah Dull Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AI-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

“Turut dijadualkan hadir adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, dif-dif jemputan dan duta-duta luar negara,” katanya,

Jelas Paimuzi, Sambutan Ma’al Hijrah tahun ini hanya terbuka kepada jemputan sahaja susulan penularan wabak COVID-19.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti kebiasaan perlu diamalkan seperti pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial,” katanya ketika dihubungi AlHijrah Online.

Paimuzi memaklumkan tema Sambutan Ma’aI Hijrah tahun ini ialah “Ummah Rabbani Negara Harmoni”.

“Kemuncak bagi Majlis Sambutan Ma’al Hijrah ini adalah penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M.

“Pada tahun ini, Jawatankuasa Induk bersetuju untuk menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada seorang tokoh ilmuan profesional tersohor tanah air pada masa kini manakala seorang tokoh antarabangsa yang terkenal juga akan dianugerahkan pada tahun ini,” katanya,

Selain penganugerahan tokoh Ma’al Hijrah, turut diadakan pada hari tersebut bacaan tahlil dan doa selamat dan akan diakhiri dengan bacaan doa akhir dan awal tahun oleh Imam Besar Masjid Negara.

Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M akan disiarkan secara Iangsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply