SURAH AR-RAHMAN DAN AL-FURQAN JADI PILIHAN #QURANHOUR TAHUN INI

KUALA LUMPUR: Surah Ar-Rahman dan Surah Al-Furqan menjadi surah pilihan bagi Malaysia #Quranhour pada 30 Ogos ini sempena sambutan kemerdekaan ke-63 pada hari berikutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) , Marhaini Yusoff berkata, misi ‘meng-Qurankan’ bangsa dan mengikhlaskan ummah yang memasuki tahun ke-6 ini membawa kelainan dengan pembinaan 12 personaliti ‘Ibadurrahman berteraskan surah Al-Furqan daripada ayat 63 hingga 77.

Menurutnya, personaliti ‘Ibadurahman adalah gambaran akhlak umat Rasulullah SAW yang mencapai kemuliaan di sisi Allah SWT serta seorang hamba yang menzahirkan tindakan harmoni antaranya menyebar salam, memberi makan, menyambung silaturahim dan mendirikan solat malam ketika orang lain sedang tidur.

“Pada 30 ogos ini kita akan bawa pula tentang siapa hamba kepada Ar-Rahman, di mana kita akan kupas daripada surah Al-Furqan daripada ayat 63 hingga 77.

“Kita bawa kepada apa yang hadis nabi kata, jadi itu kelainan pada tahun ini,” katanya.

Jelas beliau lagi, antara 12 personaliti ‘Ibadurrahman itu adalah tawaduk, berbudi bahasa, mendirikan solat malam, menjauhi zina, tidak bersumpah palsu dan memohon kebaikan untuk keluarga.

Beliau berkata demikian pada sidang media Malaysia #Quranhour di Shah Alam hari ini.

Sementara itu Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata usaha itu sebagai inisiatif untuk menjadi ‘Ibadurahman yang dapat memacu transformasi peradaban dunia dengan bermula diri sendiri, keluarga, organisasi dan komuniti.

“Kita berharap semua orang Islam di Malaysia dan seluruh dunia ni dapat khatam tadabur Al-Quran.

“Apabila kita khatam satu Al-Quran, saya rasa ekosistem akan berubah, pemikiran dan budaya orang Islam juga akan berubah,” katanya.

Kempen Malaysia #QuranHour bertemakan Malaysia Harmoni: Pembinaan 12 Personaliti ‘Ibadurrahman akan disiarkan secara langsung menerusi stesen tv antaranya TV Alhijrah dan platform digital pada 30 Ogos ini selama sejam bermula 12 tengah hari hingga 1 tengah hari. — AlHijrah Online

Leave a Reply