Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SAMUN KEDAI EMAS GENTING, KERUGIAN CECAH RM1.74 JUTA HANYA DALAM DUA MINIT

JENAYAH

SAMUN KEDAI EMAS GENTING, KERUGIAN CECAH RM1.74 JUTA HANYA DALAM DUA MINIT

Sebanyak 81 barang kemas seberat 2.5 kilogram bernilai RM1.74 juta dilarikan dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di pusat beli-belah Sky Avenue, Genting Highlands, semalam.

KUANTAN: Sebanyak 81 barang kemas seberat 2.5 kilogram bernilai RM1.74 juta dilarikan dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di pusat beli-belah Sky Avenue, Genting Highlands, semalam.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, tiga lelaki bersenjatakan kapak dan kuku kambing dipercayai melarikan barang kemas itu dalam tempoh kira-kira dua minit.

Beliau berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada seorang pengawal keselamatan pada 11.39 pagi.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek memakai penutup muka, topi dan jaket ketika memasuki premis berkenaan sebelum mengambil lima bekas yang mengandungi 81 barang kemas.

“Kejadian dipercayai berlaku dalam tempoh kira-kira dua minit sebelum suspek melarikan diri kira-kira 11.41 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ketika kejadian, dua pekerja, masing-masing seorang lelaki dan wanita, berada di dalam premis, manakala seorang lagi pekerja wanita keluar untuk berehat.

Tiada pelanggan berada di dalam premis ketika kejadian dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Tiada pengawal keselamatan ditugaskan di premis berkenaan. Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan mewah jenis BMW yang didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor,” katanya.

Susulan kejadian itu, polis mengaktifkan Ops Tutup di sekitar Genting Highlands serta laluan menghala ke Batang Kali pada 12 tengah hari sebelum operasi ditamatkan pada 4.15 petang.

Polis kini sedang giat mengesan ketiga-tiga suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Aqilah Azmi di talian 011-3175 9522 atau menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in JENAYAH

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading