
BATU PAHAT: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang usahawan yang mayatnya ditemukan terapung serta dililit dengan jaring di Sungai Tanjung, Parit Raja, awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada S. Yogesvaran, 40, Lin Yong Ming, 26, N. Achutan, 32, dan How Han Wei, 33, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tidak dibenarkan diikat jamin.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa membunuh Low Kai Xian, 39, antara 29 Julai pada 2.35 petang di Jalan Emas Putih 2, Taman Sri Skudai, Johor Bahru, hingga 3 Ogos pada 12.30 tengah hari di Sungai Tanjung Sembrong, Batu Pahat.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika hukuman mati tidak dijatuhkan.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang oleh isterinya pada 29 Julai, manakala ahli keluarga hanya menemukan kenderaannya di Johor Bahru.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dijerut menggunakan tali sebelum dibawa menaiki kenderaan. Kedua-dua tangannya kemudian diikat menggunakan pita pelekat, manakala mayatnya dibalut dengan jaring sebelum dicampakkan ke sungai.
Polis turut menemukan lima ketul batu pada mayat mangsa yang dipercayai digunakan untuk menenggelamkan jasadnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim. Sementara itu, Achutan diwakili peguam S. Sean Dodley, manakala tiga lagi tertuduh diwakili peguam Datin Freda Sabapathi.
Mahkamah menetapkan 14 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), forensik kamera litar tertutup (CCTV) dan telefon.
— AlHijrah Online.