Connect with us

ALHIJRAH NEWS

ROGOL KANAK-KANAK LAPAN TAHUN, WARGA EMAS KEKAL DIPENJARA 15 TAHUN, EMPAT SEBATAN

JENAYAH

ROGOL KANAK-KANAK LAPAN TAHUN, WARGA EMAS KEKAL DIPENJARA 15 TAHUN, EMPAT SEBATAN

Mahkamah Rayuan dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya bahawa asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada air mani yang ditemukan pada selimut dan kain sarung sepadan dengan DNA tertuduh.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan terhadap seorang warga emas selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan atas kesalahan merogol kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pada 2018.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan Ramli Mat, 76.

Hakim Noorin yang mengetuai panel itu berkata, mahkamah mendapati tiada alasan untuk mengetepikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen.

Terdahulu, Ramli yang masih bujang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Mac tahun lalu kerana merogol kanak-kanak perempuan itu di sebuah rumah di Arau, Perlis, antara 6.30 petang hingga 7.30 malam pada 17 Disember 2018.

Ketika kejadian, tertuduh berusia 69 tahun.

Pada 15 Januari lalu, Mahkamah Tinggi turut mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan sebelum tertuduh mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding itu, peguam yang mewakili tertuduh, Norharniza Rusli berhujah bahawa terdapat keraguan terhadap identiti individu yang merogol mangsa berikutan percanggahan dalam keterangannya.

Beliau turut memohon mahkamah mengurangkan hukuman penjara serta mengecualikan hukuman sebatan atas faktor usia dan keadaan kesihatan tertuduh, termasuk masalah penglihatan yang semakin merosot sehingga memerlukan bantuan untuk menjalani aktiviti harian.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang berhujah bahawa asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada air mani yang ditemukan pada selimut dan kain sarung sepadan dengan DNA tertuduh.

Beliau turut memohon mahkamah mengekalkan sabitan, hukuman penjara dan sebatan kerana hukuman sebatan bagi kesalahan seksual masih boleh dikenakan terhadap pesalah yang berusia lebih 50 tahun.

Menurutnya, tertuduh boleh memohon pengecualian daripada menjalani hukuman sebatan sekiranya doktor mengesahkan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in JENAYAH

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading