
KULAI: Sebuah premis perindustrian di Kulai diarah untuk ditutup sementara selepas tular memasang Jalur Gemilang serta bendera negeri Johor secara terbalik.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihaknya kesal serta kecewa dengan kecuaian yang tidak bertanggungjawab kerana bendera itu merupakan simbol kedaulatan, martabat dan identiti Malaysia dan negeri Johor.
“Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh dinormalisasikan dan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan.
“Lebih-lebih lagi apabila dua simbol penting, Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor didapati dipasang dalam keadaan terbalik di premis yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, penutupan sementara premis itu akan dibuat sehingga pihak syarikat tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji.
Katanya, Pegawai Daerah Kulai telah menyelaraskan tindakan susulan bersama Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.
“Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden itu, manakala pengarah syarikat berkenaan akan dipanggil untuk memberikan penjelasan.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang berkuat kuasa, tindakan selanjutnya mesti diambil tanpa pilih kasih,” katanya.
Jelas Mohd Jafni, tindakan pihak berkuasa tempatan dilakukan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019, termasuk Undang-Undang Kecil 49(2) mengenai kuasa menutup premis dan Undang-Undang Kecil 45(1) mengenai pengibaran bendera.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada semua pemilik premis, syarikat dan pihak industri di negeri ini agar memastikan Jalur Gemilang dipamerkan secara betul dan penuh hormat.
“Kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang ringan rasa hormat yang sepatutnya diberikan kepada simbol kedaulatan negara,” katanya.—AlHijrah Online