SEJUTA DOS PFIZER SUMBANGAN AS SELAMAT TIBA DI MALAYSIA

SUBANG: Malaysia menerima sejuta dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech sumbangan Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Bekalan vaksin tersebut yang dibawa menggunakan pesawat kargo TH 384 jenis Airbus Boeing 767 milik Raya Airways selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah kira-kira 8.10 pagi tadi.

Sumbangan tersebut sekaligus akan membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung ketika ini.

Ketibaan vaksin sumbangan AS itu turut disaksikan Menteri Penyelaras PICK yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters.

McFeeters berkata, sumbangan tersebut mencerminkan kerjasama rapat antara Malaysia dan AS.

“Kami mempunyai kerjasama kukuh dalam isu kesihatan awam dan ini adalah yang terbaik daripada kami sekarang, selamatkan Malaysia selamatkan nyawa.

“Kerajaan AS komited bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang dijalankan, untuk memperluas liputan vaksin dan mencapai sasaran untuk pemulihan,” katanya dalam sidang media.

Memetik laporan BERNAMA, peruntukan vaksin ke Malaysia adalah sebahagian daripada strategi global pentadbiran Biden untuk berkongsi 80 juta dos vaksin di seluruh dunia pada musim panas ini.

Dalam perkembangan yang sama, Khairy menyatakan penghargaan kepada kerajaan AS atas sumbangan satu juta dos vaksin Pfizer yang tiba hari ini.

Khairy berharap agar Malaysia dapat terus bekerjasama dengan AS serta negara-negara lain bagi mendapatkan akses untuk memperoleh lebih banyak vaksin.

Sumbangan bekalan vaksin tersebut merupakan sumbangan kedua negara luar selepas Malaysia menerima satu juta dos vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca dari kerajaan Jepun, Khamis lalu.–AlHijrah Online

Leave a Reply