MVM, PPPJ KUMPUL DANA TERAPI KESIHATAN MENTAL GOLONGAN MEMERLUKAN

KUALA LUMPUR: Muslim Volunteer Malaysia (MVM) bersama Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai (PPPJ) melancarkan Tabung Projek Salam MVM x Jiwadamai bagi membantu masyarakat yang mengalami tekanan hidup dan kecelaruan emosi akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MVM, Mohd Fauzan Abdul Sukor berkata projek itu bertujuan membantu masyarakat tidak berkemampuan yang mengalami tekanan agar mereka tidak terpinggir dan mendapat bantuan psikososial serta menerima terapi kesihatan mental yang sewajarnya bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam waktu yang sukar ini. 

“Merujuk statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 1,099 kes bunuh diri telah direkodkan dari 2020 hingga Mei 2021. 

“Punca utamanya adalah akibat masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan. Malah, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor baru-baru ini dibimbangi akan meningkatkan lagi kes tekanan perasaan dengan lebih mendadak,” katanya,

Oleh itu Mohd Fauzan berkata dalam misi bantuan psikososial tersebut, sebanyak empat golongan yang akan disasarkan iaitu golongan B40 (dewasa & kanak-kanak), golongan M40 (hilang punca pendapatan), petugas barisan hadapan (frontliners) dan pelajar. 

Jelasnya untuk golongan dewasa, mereka akan menjalani saringan kesihatan mental, servis konsultansi dan psikoterapi kesihatan mental serta bantuan ubat

“Manakala bagi bantuan untuk kanak-kanak pula, mereka akan menjalani servis konsultansi dan psikoterapi kesihatan mental; saringan dan terapi masalah pertuturan kanak-kanak; saringan dan terapi masalah perkembangan kanak-kanak (Autism, ADHD dan lain-lain); kelas intervensi awal untuk masalah perkembangan kanak-kanak serta bantuan ubat,” katanya,

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Doktor Kesihatan Pekerjaan PPPJ, Dr. Hasnor Safwan berkata mereka yang mempunyai tekanan perasaan perlu dibawa berjumpa ahli profesional secepat mungkin. 

Hal itu kerana risiko cubaan bunuh diri perlu dinilai, sama ada akan dimasukkan ke wad, dimulakan ubatan atau berjumpa ahli psikologi bagi menjalankan terapi tingkah laku kognitif.

“Negara mempunyai ramai graduan universiti daripada bidang psikologi klinikal yang terlatih untuk mengendalikan kes-kes berkaitan kesihatan mental. 

“PPPJ akan melantik mereka untuk memberikan khidmat terapi psikologi kepada individu yang kurang berkemampuan di bawah pemantauan pakar psikologi berpengalaman,” katanya.

Tabung Projek Salam MVM x Jiwadamai menyasarkan kutipan dana RM20,000 sebulan dan jumlah keseluruhan dana yang diperlukan adalah berjumlah RM200,000 untuk tempoh 10 bulan. 

Sumbangan katanya boleh disalurkan ke akaun Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia melalui Maybank (5648 0164 7699), CIMB Islamik (8602 5378 07) dan Bank Islam (1230 0010 0030 65) atas rujukan Salam Jiwadamai, emel ke account@mvm.org.my. — AlHijrah Online

Leave a Reply