
BATU PAHAT: “Selamat pulang, Sofiya.” Demikian luahan pilu ibu saudara kepada Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, remaja yang ditemukan maut di sebuah sekolah di Yong Peng, pada Sabtu lalu.
Bagi Nur Amira Husna Mothzar, 25, pemergian anak tunggal itu bukan sekadar kehilangan besar buat keluarga, malah meninggalkan luka mendalam memandangkan remaja tersebut telah kehilangan ibunya sejak berusia lapan tahun.
Menurutnya, di sebalik perwatakan ceria dan sikapnya yang sentiasa menyenangkan orang sekeliling, Sofiya sebenarnya memendam perih membesar tanpa kasih sayang seorang ibu.
Lebih menyayat hati, arwah menyimpan cita-cita untuk mengikut jejak langkah arwah ibunya bergelar seorang doktor. Malah, beberapa hari sebelum kejadian, mangsa dilaporkan masih meluangkan masa mengulang kaji subjek Biologi bersama seorang lagi ibu saudaranya.
Meluahkan rasa terkilan tatkala memberi penghormatan terakhir, Nur Amira mempersoalkan tindakan kejam pelaku terhadap anak saudaranya itu yang disifatkan hanya mahu menuntut ilmu.
“Ya Allah, kesiannya… Sofiya ini anak yatim dan dia cuma nak belajar. Kenapa tergamak buat dia macam itu.
Beliau turut menitipkan doa agar anak saudaranya itu disatukan semula dengan arwah ibunya di negeri abadi.
“Sekarang Sofiya sudah tidak berasa kesakitan dan kesusahan dunia lagi. Kejarlah impian Sofiya di syurga nanti untuk menjadi doktor,” kongsinya menerusi satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Allahyarham Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng kira-kira jam 5.50 petang Sabtu, sebelum disahkan meninggal dunia.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti motif dan keadaan sebenar kejadian. – Alhijrah Online