SELEPAS SEJAM DILAHIRKAN, BAYI MENINGGAL DUNIA AKIBAT COVID-19

Sumber Gambar: Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Tragedi menyayat hati selepas seorang bayi perempuan yang sejam dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, meninggal dunia akibat COVID-19.

Memetik laporan Sinar Harian, bayi, Nur Firdina Anggun yang berusia 24 minggu telah dilahirkan ibunya, Nur Fazwatina Md Haruji, 31 tahun, yang masih berada dalam tempoh kuarantin disebabkan positif COVID-19.

Ibu mangsa terpaksa menerima takdir atas pemergian anak bongsunya, walaupun dia masih menerima rawatan di hospital di samping lima orang anaknya yang menjalani kuarantin di rumah.

Sumber Gambar: Sinar Harian

Menurut bapa bayi, Nur Firdaus Ab Rahim, 30 tahun, anak bongsunya merupakan antara korban termuda sejak pandemik itu melanda di Malaysia.

Jelasnya, COVID-19 mampu menyerang mana-mana mangsa dengan kejam termasuklah petugas barisan hadapan.

“Sebagai seorang anggota kereta peronda polis (MPV), saya selalu selesaikan masalah rakyat, kita tengok kejadian seperti ini berlaku hari-hari di depan mata.

“Apabila kena pada diri sendiri baharu kita tahu perasaan sebenar mangsa. Tidak kira kita polis atau doktor sekali pun COVID-19 ini tidak mengenal mangsa,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Jenazah bayi berusia 24 minggu itu selamat dikebumikan oleh sukarelawan Unit Khas Van Jenazah di Tanah Perkuburan Selat Klang di Sungai Sireh dekat Klang, pada Ahad.—AlHijrah Online

Leave a Reply