Semua institusi pendidikan Pasir Gudang ditutup tiga hari

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) memaklumkan semua institusi pendidikan kawalan Kementerian Pendidikan terletak dalam daerah Pasir Gudang ditutup mulai 25 hingga 27 Jun ini.
Pengarahnya, Azman Adnan berkata, ia melibatkan 111 buah sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pengajian tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
Penutupan ini dilakukan supaya pihak berkuasa dapat menyelesaikan kerja-kerja berkaitan mengatasi isu bahan punca pencemaran, lapor Sinar Harian berdasarkan satu kenyataan beliau di Johor Bahru hari ini.
Azman juga meminta semua pengetua dan guru besar memaklumkan segera kepada semua murid, guru dan ibu bapa serta kakitangan dalam kawalan masing-masing, dan mengambil tindakan susulan berkaitan penutupan itu.
Beliau juga memaklumkan agensi berkaitan kini dalam peringkat akhir untuk mengenalpasti bahan kimia yang terlibat, dan punca pencemaran itu akan diumumkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) atau Jabatan Kimia dalam masa sehari dua lagi.
Setakat ini, di Pasir Gudang terdapat 265 kilang yang beroperasi. 30 daripadanya telah disenarai pendek untuk disiasat bagi mengenalpasti sama ada bahan kimia yang diproses di kilang-kilang itu menjadi punca kepada pencemaran terbaru di Pasir Gudang ini.