SERAH SEPENUHNYA KEPADA JHEAIK SIASAT AMALAN KHURAFAT DI GUNUNG JERAI – MB KEDAH

SIK: Kerajaan Negeri Kedah menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) menyiasat sama ada berlaku aktiviti khurafat atau sebaliknya yang berlaku di Gunung Jerai dekat Yan seperti tular melalui media sosial baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya tidak mahu sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum yang amalan mandi di Telaga Tok Syeikh itu sebagai khurafat kerana ia bergantung terhadap niat seseorang individu itu berbuat demikian.

“Mandi tak khurafat, mandi ok saja macam mandi di Telaga Tok Syeikh sama macam mandi di rumah dan air terjun. Sama saja yang mana dua-duanya guna air, niat itu apa, kalau saja aku mandi ka, mandi saja-saja ka, dua-dua itu boleh.

“Ada orang yang naik meratib, naik bertapa, ada orang naik (untuk) rekreasi, ada orang anggap air telaga ini boleh buat ubat…jadi saya serah kepada pihak berkuasa untuk siasat benda-benda macam ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Klip video yang berdurasi selama satu minit itu antara lain memaparkan amalan mandi dan berwuduk di Telaga Tok Syeikh sebelum mereka dipercayai menaiki gunung itu untuk melakukan ritual seterusnya.

Muhammad Sanusi berkata aktiviti yang bertentangan dengan syariat Islam tidak semestinya berlaku di atas Gunung Jerai sahaja malah kemungkaran yang berlaku “di bawah” lebih banyak. – AlHijrah Online

Leave a Reply