Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SISTEM PENDIDIKAN TAHFIZ MALAYSIA DIYAKINI, LEBIH 61,000 PELAJAR TAHFIZ DIREKOD BERDAFTAR

DALAM NEGARA

SISTEM PENDIDIKAN TAHFIZ MALAYSIA DIYAKINI, LEBIH 61,000 PELAJAR TAHFIZ DIREKOD BERDAFTAR

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Darul Quran juga telah melahirkan 12,597 alumni huffaz yang berperanan dalam bidang pendidikan, dakwah, perkhidmatan awam, profesional dan keusahawanan sekaligus membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan tahfiz yang holistik dan selari dengan keperluan semasa negara.

Gambar ARKIB. Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan tahfiz di Malaysia dapat dilihat apabila seramai 61,494 pelajar tahfiz berdaftar di seluruh negara setakat Oktober 2025, menurut data Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI).

SIMPENI juga merekodkan seramai 10,081 orang guru serta 1,401 institusi tahfiz yang berdaftar mencerminkan keyakinan masyarakat selain menunjukkan pertumbuhan konsisten dan terancang dalam ekosistem pendidikan tahfiz negara, selari dengan keperluan semasa serta aspirasi pembangunan modal insan berteraskan nilai al-Quran.

“Kerajaan MADANI kekal komited dalam memperkasa pendidikan tahfiz sebagai salah satu teras utama pembinaan modal insan Rabbani yang seimbang dari aspek rohani, intelektual dan profesional. Komitmen ini diterjemahkan secara berterusan melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang telah dimulakan sejak tahun 2017 sehingga kini.

“Dasar ini digerakkan melalui lima teras utama merangkumi pemantapan undang-undang dan penguatkuasaan, pewujudan model institusi tahfiz, pembangunan kurikulum yang selari dengan arus perdana, pemerkasaan tadbir urus serta pengiktirafan dan pensijilan pendidikan tahfiz.

“Pelaksanaannya melibatkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN), institusi pengajian tinggi serta rakan strategik lain bagi memastikan pendidikan tahfiz dibangunkan secara tersusun, berstandard dan berkualiti,” menerusi kenyataan Sekretariat Majlis Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Darul Quran juga telah melahirkan 12,597 alumni huffaz yang berperanan dalam bidang pendidikan, dakwah, perkhidmatan awam, profesional dan keusahawanan sekaligus membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan tahfiz yang holistik dan selari dengan keperluan semasa negara.

Bagi memperluas peluang pendidikan dan kerjaya huffaz, kerajaan turut memperkenalkan Model Pengajian Tahfiz Malaysia (MPTM) yang merangkumi laluan tahfiz akademik, kemahiran dan intervensi dalam membuka ruang integrasi tahfiz dengan pendidikan tinggi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain memperkukuh kebolehpasaran graduan tahfiz.

“Dalam usaha memperkukuh kualiti dan standard pendidikan tahfiz, Kerajaan akan melaksanakan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) secara berperingkat di seluruh negara bermula tahun 2026.

“SPTM berfungsi sebagai mekanisme pengiktirafan institusi tahfiz yang holistik meliputi aspek tadbir urus, prasarana, kurikulum, kokurikulum, kualiti guru dan sumber pendidikan. Kerajaan turut mencadangkan agar institusi tahfiz yang mencapai prestasi cemerlang berdasarkan SPTM diberikan pengiktirafan dan insentif sebagai galakan kepada amalan terbaik,” katanya.

Kerajaan MADANI juga memberi perhatian serius kepada kebajikan dan kemudahan institusi tahfiz melalui peruntukan RM150 juta pada tahun 2025 bagi penyelenggaraan dan naik taraf prasarana pendidikan Islam selain Skim Pembiayaan Huffaz (SPH) disediakan bagi menyokong kesinambungan pengajian huffaz ke peringkat lebih tinggi.

“Kerajaan MADANI akan terus memastikan pendidikan tahfiz diperkasa secara inklusif dan progresif agar para huffaz bukan sahaja unggul dalam hafazan al-Quran, tetapi juga berupaya menyumbang secara signifikan dalam pelbagai bidang profesional demi kesejahteraan ummah dan kemajuan negara,” katanya.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading