SOLAT TARAWIH HANYA 30 MINIT

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi menetapkan tempoh menunaikan solat tarawih di semua masjid negara itu kepada 30 minit sahaja.
Lapor Saudi Press Agency, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan, Sheikh Dr Abdullatif Al-Sheikh berkata, ketetapan tersebut berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan bagi mengekang jangkitan COVID-19.
Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan mengesyorkan solat sunat tarawih serta qiamullail ditunaikan bersama solat fardu Isyak bagi mengurangkan tempoh jemaah berada di dalam masjid.
“Semua tindakan dan protokol pencegahan sudah dikeluarkan kementerian dalam edaran sebelum ini dan harus dilaksanakan dengan ketat,” menurut pekeliling itu.
Sementara itu, kementerian tersebut menasihati semua petugas masjid dan jemaah mengambil langkah pencegahan apabila ke masjid termasuk membawa sejadah, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Bin Abdulaziz sebelum ini memberi kebenaran untuk jemaah menunaikan ibadah solat tarawih di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Jumlah rakaat perlu dikurangkan kepada 10 rakaat berbanding 20 rakaat seperti tahun-tahun sebelumnya.—AlHijrah Online