SOP BAHARU BAGI PELAKSANAAN PILIHAN RAYA- PENGERUSI SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu bagi pilihan raya selaras dengan pandemik COVID-19 yang berlaku di Malaysia.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SOP tersebut selari dengan cadangan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan iaitu, tidak boleh merentas negeri (sempadan negeri atau daerah), tiada perhimpunan ramai untuk berkempen, dan tiada lawatan rumah ke rumah.
“Kita sudah ada SOP baharu yang akan dimaklumkan. Pandangan yang baik juga kita akan timbang untuk diterima,” katanya kepada media.
Abdul Ghani berkata, SOP yang telah disediakan SPR masih terpakai, namun akan ada beberapa penambahan SOP baharu yang lebih ketat, seperti kempen melalui media sosial.
Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang akan diadakan pada 5 Disember ini, SPR menetapkan beberapa garis panduan terbaharu.
Ia termasuk tiada kempen secara bersemuka, dan tiada aktiviti ziarah calon atau penyokong parti dari rumah ke rumah.
SPR turut mencadangkan calon atau parti hanya dibenarkan membuka satu bilik gerakan sahaja bagi aktiviti berkempen.
Hasrat Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah untuk tidak mengadakan sebarang pilihan raya pada masa ini.
Bagaimanapun, tiada kuasa yang boleh menghalang pilihan raya untuk dibatalkan, dan Dr Noor Hisham mencadangkan tiga prinsip yang perlu diikuti sepenuhnya sebagai syarat sebelum sesuatu pilihan raya itu diadakan.–AlHijrah Online