SOP ISOLASI KONTAK RAPAT DIUMUM MINGGU DEPAN

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) berhubung perintah isolasi bagi individu yang menjadi kontak rapat kes positif COVID-19 akan diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) minggu hadapan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, SOP tersebut kini hanya diguna pakai untuk pekerja kesihatan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan kepada orang awam.

Ia susulan pekeliling yang diedarkan kepada semua petugas kesihatan bertarikh 15 Februari lalu.

“Satu pekeliling sudah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk pekerja kesihatan mengenai satu protokol baharu yang merujuk kepada mereka yang disahkan kontak rapat, kini tidak lagi perlu menjalani isolasi sekiranya tiada gejala.

“Sebaliknya, mereka hanya perlu membuat ujian saringan pada hari tertentu dan protokol sama akan kita laksanakan untuk orang ramai apabila tiba masanya,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Jelas Khairy, keputusan tersebut dibuat susulan ramai pekerja kesihatan yang menjadi kontak rapat dan sekaligus mengganggu pengurusan jabatan serta ekonomi.

Tambahnya, selain hospital awam, hospital atau klinik swasta juga boleh mengikut pekeliling baharu yang akan dikeluarkan minggu hadapan.—AlHijrah Online

Leave a Reply