SPEAKER DUN SELANGOR TEGUR RAMAI ADUN LEWAT KE PERSIDANGAN

Sumber Gambar: BERNAMA

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ng Suee Lim terkilan dengan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir lewat ke Persidangan DUN khususnya pada sesi pagi.

Ng berkata tindakan berkenaan seharusnya tidak berlaku dan menyebabkan banyak pertanyaan ketika sesi pertanyaan mulut tidak dapat dijawab ekoran kelewatan ADUN tiba ke persidangan berkenaan.

“Satu atau dua orang itu (lewat tiba ke DUN) mungkin perkara biasa tetapi kali ini ramai yang datang lewat. Pukul 10.30 ke 11 pagi baru ada yang sampai (DUN bermula 10 pagi). Banyak soalan (membincangkan hal rakyat) perlu lompat (tidak terjawab). Ini tidak seharusnya berlaku dan perlu dielakkan. 

“Wartawan pun boleh datang awal, ADUN yang dipilih, menggalas tanggungjawab lebih besar untuk menyuarakan suara rakyat sepatutnya lebih menepati masa. Saya akan berikan nasihat kepada mereka dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita di Bangunan Annex, DUN Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Ng berkata persidangan yang berlangsung sembilan hari itu meluluskan lima Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Tubuh Kerajaan Negeri (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti Lompat Parti dilaksanakan di negeri itu.

Beliau berkata RUU Enakmen Perbekalan 2023 atau Belanjawan 2023 berjumlah RM2.45 bilion juga telah diluluskan Jumaat lepas dengan sebulat suara setelah dibentangkan pada 25 Nov dan dibahas selama tiga hari bermula 28 Nov.

Turut diluluskan, RUU Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Pindaan) 2022, RUU Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2022 dan RUU Enakmen Peruntukan Diraja (Pindaan) 2022.

Ng berkata turut diluluskan adalah Usul Dasar Modal Insan Selangor dan enam Penyata Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Tetap DUN Selangor antaranya pembasmian kemiskinan, pemasangan lampu jalan solar dan akses pendidikan awal kanak-kanak.

Persidangan DUN Selangor ditangguhkan ke suatu tarikh yang dimaklumkan kelak.–AlHijrah Online

Leave a Reply