KUALA LUMPUR: Kesedaran tinggi umat Islam di negara ini terhadap kesucian agama perlu dipertahankan dan ia dapat dilihat ketika tular isu-isu menyentuh sensitiviti umat Islam termasuk yang terbaru berhubung penjualan stoking bersulam kalimah Allah di salah satu kedai serbaneka rantaian terkenal di Malaysia.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata pihaknya turut berdukacita terhadap isu penjualan stoking terbabit dan memahami penentangan umat Islam terhadap perkara berunsur penghinaan itu.
“YADIM memandang positif satu aspek yang baik adalah tahap pendidikan masyarakat dan perasaan umat Islam yang cukup sensitif terhadap kesucian agama Islam yang wajib dipelihara.
“YADIM menyokong hasrat umat Islam di negara ini supaya segala bentuk pembekalan produk dan reka cipta barangan perlu diteliti dan diperhalusi dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai seorang muslim,” katanya.
Bagaimanapun agensi agama itu memohon setiap peringkat masyarakat untuk tidak membelakangi undang-undang dalam memberikan tindak balas berkait isu berkenaan dan mengajak orang ramai berdoa agar ia selesai dengan penuh tertib dan melalui proses undang-undang negara yang penuh dengan tatasusilanya.
“Sungguhpun kebesaran dan kesucian Allah itu tidak sedikitpun terjejas akan keagungan-Nya, namun YADIM sebuah badan yang bertanggungjawab sangat mengambil berat terhadap perkara yang telah berlaku.
“Kami berpandangan ini merupakan satu perbuatan yang perlu dicegah lebih awal di peringkat penguatkuasaan.
“Apabila telah berlaku keadaan seperti ini tindakan perlu dikuatkuasakan kerana menyentuh isu sensitiviti umat Islam bahkan unsur penghinaan terhadap agama Islam sebagai agama persekutuan negara,” katanya.
Dalam pada itu YADIM yakin akan keupayaan agensi penguatkuasa sedia ada untuk menangani dan membendung kejadian ini daripada terus membarah.
Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kompetensi yang cukup diyakini mampu mengawal perkara itu daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak untuk kepentingan individu dan kelompok tertentu.
Namun begitu YADIM tetap melihat perkara ini perlu dinilai dan dikaji secara menyeluruh dalam setiap proses aktiviti rantaian bekalan.
Penelitian harus bermula dari sudut pembangunan produk, bekalan, pengilangan, import dan eksport, kelulusan penjualan sehingga ke peringkat penjualan di premis dan kedai-kedai di negara ini. — AlHijrah Online