
Sumber Gambar: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Sulh Fast Track diperkenalkan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sebagai inisiatif bagi membolehkan pertikaian kekeluargaan dan kes mal diselesaikan dalam tempoh sehari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif tersebut terbuka kepada pasangan yang ingin mencapai penyelesaian secara damai, meskipun tuntutan mereka belum didaftarkan secara rasmi di mahkamah.
Pegawai sulh akan membantu dalam menyediakan perjanjian persetujuan antara kedua-dua pihak sebelum diendorskan oleh hakim mahkamah syariah.
“Kes tersebut akan diselesaikan pada hari yang sama ketika tuntutan berkenaan difailkan di Mahkamah.
“Ia bukan sahaja menjimatkan masa, malah memberi kesan positif kepada kesihatan mental pihak yang bertikai serta anak-anak yang terlibat kerana konflik tidak berlarutan,” katanya selepas merasmikan Pusat Sulh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Zulkifli memaklumkan penjenamaan semula Seksyen Sulh kepada Pusat Sulh merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.
Tambahnya pusat berkenaan akan berfungsi melalui lima teras utama, iaitu Majlis Sulh, timbang tara hakam, pendamaian dan islah, khidmat nasihat serta mediasi, selain analitik strategik.
“Pusat ini juga diwujudkan sebagai hub pentadbiran dan pengurusan perkhidmatan hakam di Wilayah Persekutuan, termasuklah urusan pelantikan hakam.
“Dengan kewujudan hakam yang lebih tersusun dan berkemahiran, konflik yang berlaku dalam rumahtangga dapat dianalisis dengan lebih baik,” ujarnya.
Mengulas keberkesanan mekanisme sulh, beliau berkata sebanyak 39,829 kes, bersamaan 88 peratus daripada keseluruhan kes sulh yang didaftarkan di seluruh negara berjaya diselesaikan bagi tempoh 2022 hingga 2025.
Malah, kadar penyelesaian bagi tahun 2024 sahaja mencecah hampir 90 peratus, jelasnya.
“Statistik menunjukkan tahap pematuhan suami atau bapa terhadap perintah mahkamah adalah jauh lebih tinggi apabila ia dicapai melalui persetujuan bersama.
“Pusat ini akan menyediakan perkhidmatan digital dan perbincangan secara atas talian untuk memudahkan masyarakat mendapatkan khidmat nasihat berkenaan kes di mahkamah.
“Penambahbaikan sistem pengurusan data, penyelidikan dan institutional memory digembleng dari semasa ke semasa bagi mendepani peningkatan kes,” katanya.—AlHijrah Online