SULTAN KELANTAN SUMBANG RM1 JUTA BANTU GOLONGAN ASNAF

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan sumbangan RM1 juta khusus bagi membantu golongan asnaf yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sumbangan tersebut menggunakan peruntukan yang disediakan MAIK bagi tujuan program bersama baginda sepanjang Ramadan.

“Menerusi sumbangan yang dikurniakan itu, baginda benar-benar berharap agar ia memberikan kegembiraan kepada asnaf, anak yatim, pelajar tahfiz dan golongan memerlukan,” katanya.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, baginda bertitah menzahirkan kebimbangan dengan perkembangan semasa pandemik COVID-19 di Kelantan.

“Baginda turut menzahirkan rasa dukacita apabila fasiliti kesihatan dilaporkan kritikal dengan pertambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang mana 17 pusat dibuka di negeri ini.

“Baginda juga mengajak seluruh rakyat terus mendisiplinkan diri dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan pusat mahupun negeri supaya dapat melandaikan keluk jangkitan COVID-19 dan pada masa yang sama tidak berlakunya pertambahan kluster baharu di Kelantan,” tambahnya.

–AlHijrah Online / BERNAMA

Leave a Reply