MALAYSIA DIJANGKA HANTAR 4,000 JEMAAH HAJI – ZULKIFLI

PUTRAJAYA: Malaysia menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) berkemungkinan besar akan menghantar 4,000 jemaah ke tanah suci Mekah bagi melaksanakan ibadah haji pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan bayangan tersebut menerusi program Forum Perdana Ehwal Islam di TV1, malam tadi.

“Alhamdulillah, setakat ini TH sudah menyenaraikan 4,000 orang untuk layak menerima vaksin COVID-19 dan dijangka pergi ke Tanah Suci dalam masa terdekat,” katanya selepas ditanya moderator program berkenaan, Ahmad Shukri Yusoff yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Zulkifli turut menyatakan kebarangkalian TH tidak dapat menghantar seramai 31,600 jemaah haji disebabkan beberapa syarat ketat yang dikenakan kerajaan Arab Saudi susulan pandemik COVID-19 yang tidak menentu.

“Barang kali, kuota untuk setiap negara dikurangkan, cuma saya belum lagi dapat makluman muktamad dari Arab Saudi, tetapi, Insyaallah akan diberitahu dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu Zulkifli berharap semua bakal jemaah yang sudah menerima vaksin bersiap sedia melaksanakan ibadah tersebut dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

ARTIKEL BERKAITAN – KUOTA HAJI: TH TUNGGU KETETAPAN ARAB SAUDI

Arab Saudi sebelum ini memaklumkan hanya membenarkan jemaah haji yang mempunyai kesihatan baik dalam usia antara 18 hingga 60 tahun selain telah menerima suntikan vaksin bagi ibadah haji tahun ini.

Sementara itu, beberapa negara antaranya Singapura dan Indonesia mengambil keputusan untuk tidak menghantar jemaah haji mereka akibat kebimbangan penularan wabak yang tidak dapat dijangka.

“Saya menaruh keyakinan Malaysia tidak akan menangguhkan penghantaran jemaah seperti tahun lalu dan berharap supaya ada juga dihantar walaupun sedikit bilangannya,” kata Zulkifli.

ARTIKEL BERKAITAN – 60 RIBU JEMAAH DIBENAR TUNAI HAJI TAHUN INI

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan hanya 60,000 jemaah sahaja dibenarkan menunaikan ibadah haji bagi musim 1442H.

Daripada jumlah tersebut, 45,000 jemaah adalah dari negara luar manakala baki 15,000 ialah jemaah dari Arab Saudi.–AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply