KUOTA HAJI: TH TUNGGU KETETAPAN ARAB SAUDI

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) akan umumkan kelak sebaik sahaja mendapat keputusan rasmi mengenai jumlah kuota jemaah Haji negara yang akan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi.

Keputusan yang akan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi termasuk kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah haji untuk musim ini.

Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman bagaimanapun menegaskan bahawa salah satu keperluan baru yang diminta kerajaan Arab Saudi adalah semua jemaah perlu melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

“TH telah memulakan persiapan sejak awal tahun lalu dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan norma baharu dalam pengendalian operasi Haji sama ada di tanah air mahupun di Tanah Suci.

“Sehubungan itu, TH telah menyarankan semua bakal haji yang terpilih pada tahun 2020 untuk mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” katanya.

Menurutnya, hasil inisiatif tersebut, bakal jemaah dari seluruh negara telah mula menerima suntikan ini disamping satu lagi suntikan wajib iaitu meningococcal sejak Mac 2021 yang lalu.

“Namun begitu, bakal haji masih perlu lulus pemeriksaan kesihatan apabila menerima surat tawaran tunai haji kelak,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, semua bakal jemah disaran untuk membuat persiapan dari aspek ilmu ibadat, kesihatan yang baik, rohani dan jasmani serta kewangan secukupnya bagi memastikan semua rukun dan wajib haji dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Bakal haji juga perlu bersedia menghadapi kelainan dalam menunaikan haji kali ini disebabkan norma baharu yang akan diamalkan pada musim ini.

ARTIKEL BERKAITAN – MALAYSIA DIJANGKA HANTAR 4,000 JEMAAH HAJI – ZULKIFLI

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi bayangan bahawa Malaysia akan menghantar hanya 4,000 jemaah bagi menunaikan ibadah Haji pada musim ini.–AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply