SIDANG PARLIMEN SECARA HIBRID DIKAJI

Sumber Gambar: Parlimen Malaysia

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisma ke arah pelaksanaan Sidang Dewan Parlimen secara hibrid yang melibatkan Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelaksanaan tersebut untuk memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat.

Tambahnya, satu mesyuarat telah diadakan secara maya yang melibatkan dirinya yang juga selaku menteri bertanggungjawab dengan hal ehwal Parlimen bersama kedua-dua Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang Dipertua.

“Ia dijalankan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid, merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.

‘’Mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen hibrid ini diadakan yang berasaskan penyertaan ahli-ahli parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya,” katanya.

Takiyuddin mengulas, mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.–AlHijrah Online

Leave a Reply