PPV PANDU LALU UNTUK OKU DIWUJUDKAN MINGGU DEPAN

GAMBAR HIASAN. OLEH : AFP

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) minggu depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata inisiatif itu akan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada golongan itu.

“Ini (pandu lalu) ialah alternatif untuk memudahkan dan menyegerakan pemberian vaksin kepada komuniti OKU dengan hanya duduk di dalam kereta tanpa perlu keluar,” katanya kepada media hari ini selepas meninjau pelaksanaan program vaksinasi OKU di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di ibu negara.

Memetik Bernama, Rina berkata kira-kira 577,000 OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan seramai lebih 195,000 OKU telah mendaftar untuk vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera.

JKM juga telah menyerahkan nama dan butiran asas seramai 446,000 OKU yang berdaftar dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) kepada pihak berkaitan bagi memastikan individu dalam kumpulan sasaran itu tidak tercicir mendapatkan vaksin.

Fasa kedua program imunisasi negara bagi tempoh April hingga Ogos akan menyasarkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan, dan OKU. — AlHijrah Online

KREDIT: BERNAMA

ARTIKEL ASAL: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1968641

Leave a Reply