MALAYSIA ANTARA TERTINGGI LAKSANA VAKSINASI DI ASIA TENGGARA

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi antara negara tertinggi di Asia Tenggara bagi kadar vaksinasi untuk dos pertama menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah memberikan lebih 3 juta suntikan dos vaksin, dengan lebih 2 juta penerima telah menerima satu suntikan dos vaksin COVID-19.

Muhyiddin menyatakan pencapaian tersebut bukan mudah untuk dicapai kerana bekalan vaksin berada di luar kawalan kerajaan malah perlu bersaing dengan negara-negara lain serta bergantung kepada pengeluar vaksin untuk mendapatkan bekalan.

“Bagaimanapun hasil persediaan awal kerajaan, kita telah berjaya menjamin bekalan vaksin yang mencukupi, malah melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini.” katanya.

Sumber Gambar: BERNAMA

Selain itu, Muhyiddin mengarahkan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memastikan bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditambah di seluruh negara bagi mempercepat dan mempermudah pemberian vaksin kepada rakyat.

Menurutnya, sasaran untuk mencapai 80 peratus populasi Malaysia menerima suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini akan tercapai, dengan kerjasama seluruh rakyat Malaysia.

“Pada masa ini, lebih 280 PPV sedang beroperasi di seluruh negara dan dijangka lebih 300 PPV lagi akan dibuka secepat mungkin.

“Sebanyak 105 klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, dewan-dewan awam dan universiti serta kompleks sukan dan stadium tertutup telah pun beroperasi,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN – KERAJAAN MINTA JKJAV KAJI WAJIBKAN PENGAMBILAN VAKSIN

Dalam masa yang sama, Muhyiddin memaklumkan beberapa PPV mega telah diwujudkan dan jumlah PPV akan terus bertambah dalam masa terdekat bagi kawasan kepadatan penduduk yang tinggi selari dengan penambahan stok vaksin.

Sementara itu, sektor swasta turut tidak ketinggalan untuk menjayakan PICK yang mana kerajaan mensasarkan 1,000 Klinik Perubatan Swasta akan terlibat bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin.

ARTIKEL BERKAITAN – PPV PANDU LALU UNTUK OKU DIWUJUDKAN MINGGU DEPAN

Kerajaan juga memastikan setiap rakyat Malaysia tidak akan tercicir daripada menerima vaksin terutama golongan-golongan seperti penduduk kampung, orang asli, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan.

Muhyiddin telah mengarahkan unit-unit vaksinasi bergerak ke kawasan kampung dan pedalaman bagi memberi vaksinasi untuk mencapai kelompok imuniti dengan segera.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia terutama golongan belia serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil menyumbang tenaga dan masa sebagai sukarelawan bagi membantu melancarkan proses pemberian vaksin terbesar dalam sejarah negara.–AlHijrah Online

Leave a Reply