60 RIBU JEMAAH DIBENAR TUNAI HAJI TAHUN INI

RIYADH: Jumlah keseluruhan jemaah haji yang dibenarkan bagi musim 1442H dilapor hanya 60,000 orang, kata kenyataan Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Daripada jumlah tersebut, 45,000 jemaah adalah dari negara luar manakala baki 15,000 ialah jemaah dari Arab Saudi.

Bagaimanapaun kenyataan itu turut menyebut, jumlah keseluruhan jemaah yang dibenarkan tertakluk kepada keadaan pandemik COVID-19.

Berdasarkan kenyataan sembilan muka surat yang dikeluarkan, syarat umur yang dibenarkan ialah antara 18 hingga 60 tahun.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi turut mensyaratkan jemaah yang terpilih dalam keadaan kesihatan yang baik dan perlu mendapatkan dokumen pengesahan daripada hospital.

Individu yang terpilih menunaikan haji turut perlu menerima keseluruhan dos suntikan vaksin COVID-19 dan menunjukkan sijil vaksinasi yang disahkan jabatan kesihatan negara jemaah.

Tempoh menerima keseluruhan dos suntikan vaksin COVID-19 hendaklah tidak kurang 14 hari daripada tarikh menunaikan haji.

Kenyataan Kementerian Kesihatan Arab Saudi juga menyebut jemaah perlu melakukan ujian saringan COVID-19 dan mendapat keputusan negatif tiga hari sebelum berlepas ke Arab Saudi. — AlHijrah Online

Leave a Reply