
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memperkenankan mana-mana surau atau musala di pusat beli-belah di negeri itu diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, ketetapan itu dibuat kerana kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musala pusat beli-belah berpotensi menjejaskan usaha memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam.
Keadaan itu juga boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid dan surau yang telah diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat berkurangan kerana orang ramai mempunyai pilihan untuk menunaikan solat di pusat beli-belah.
“Pada masa ini, terdapat 448 masjid dan 379 surau yang diberi kebenaran solat Jumaat di Selangor. Jumlah ini menunjukkan masjid dan surau yang dibenarkan itu mencukupi serta mampu menampung jumlah umat Islam sedia ada di Selangor.
“Sebagai tambahan, terdapat juga masjid dan surau yang berada berhampiran dengan pusat beli-belah bagi memudahkan orang awam mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Salehuddin, sekiranya kebenaran diberikan, MAIS juga perlu mengambil kira aspek pelantikan imam, bilal dan petugas lain, selain memastikan pengurusan serta tadbir urus surau atau musala mematuhi segala dasar dan peraturan yang ditetapkan.
“Jika petugas bagi surau kebenaran solat Jumaat di pusat beli-belah tersebut tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyebabkan kesukaran dari aspek pemantauan dan kawalan terhadap pengurusan surau atau musala tersebut termasuk memastikan pematuhan serta keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak MAIS,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini hanya sebuah surau atau musala di pusat beli-belah di Selangor diberi kebenaran sementara untuk mendirikan solat Jumaat berikutan tiada masjid berhampiran premis berkenaan.
“Kebenaran sementara ini akan ditarik balik jika terdapat pembinaan masjid yang berdekatan dengan pusat beli-belah tersebut pada masa hadapan yang mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.
Ketetapan Sultan Selangor itu selaras dengan ajaran dan syiar Islam bagi memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu serta dakwah.
“Oleh itu, MAIS menyeru seluruh umat Islam di Selangor untuk terus mengimarahkan masjid dan surau agar institusi tersebut dapat dijadikan sebagai pusat perpaduan umat Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Salehuddin berkata, MAIS mengambil maklum pendirian Kerajaan Persekutuan menerusi kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berhubung cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara.
Susulan itu, beliau menegaskan urusan berkaitan masjid, surau dan musala terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Di Selangor, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam mempunyai kuasa prerogatif untuk membuat sebarang ketetapan berkaitan pentadbiran agama Islam termasuk pemberian kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musala.
Beliau turut menjelaskan penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid, surau atau musala tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS mengikut Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. — AlHijrah Online.