Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SURI RUMAH MAUT DIREMPUH LORI, BERTEMBUNG PROTON ISWARA

DALAM NEGARA

SURI RUMAH MAUT DIREMPUH LORI, BERTEMBUNG PROTON ISWARA

Seorang suri rumah maut dalam kemalangan Perodua Axia dipandunya dirempuh sebuah lori dari arah belakang, di Kilometer 50 Simpang Tiga Kampung Batu 29, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di Setiu petang semalam.

SETIU: Seorang suri rumah maut dalam kemalangan Perodua Axia dipandunya dirempuh sebuah lori dari arah belakang, di Kilometer 50 Simpang Tiga Kampung Batu 29, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini petang semalam.

Mangsa, Rusmawati Ismail, 58, disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian dada ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu Supt Zahril Asri Mohd Zain berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 3:50 petang itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori jenis Isuzu Rigid, kereta Perodua Axia dan Proton Iswara.

Katanya sebelum kejadian, lori Isuzu yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dari arah Kota Bharu dipercayai telah hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Lori berkenaan kemudiannya merempuh bahagian belakang Perodua Axia dipandu mangsa yang ketika itu sedang berhenti untuk membelok masuk ke simpang sebelah kanan.

“Kesan pelanggaran tersebut menyebabkan kereta dipandu mangsa bergerak masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Proton Iswara dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun dari arah Kuala Terengganu,” katanya ketika seperti dilapor media tempatan.

Ujarnya, pemandu Proton Iswara yang mengalami kecederaan pada bahagian pinggul turut dibawa ke Hospital Setiu bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, pihak polis menerima maklumat mengenai insiden itu jam 4.01 petang dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun,” tambahnya.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu siasatan di Pejabat Trafik IPD Setiu atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Thaufiq di talian 011-26069043.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading