
PUCHONG: Semua agensi pengurusan bencana negara kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi mendepani fenomena “Super El Nino” yang dijangka November ini.
Langkah proaktif itu diambil bagi membolehkan tindakan awal dan pengurangan risiko dilaksanakan secara menyeluruh.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), penyelarasan awal melibatkan pelbagai kementerian dan agensi logistik telah diperkukuh bagi memastikan koordinasi aset berada pada tahap optimum.
Ketua Pengarahnya, Meor Ismail Meor Akim berkata, selain persediaan menghadapi “Super El Nino” menjelang penghujung tahun, tumpuan jangka pendek turut diberikan kepada impak Monsun Barat Daya (MBD) yang membawa risiko cuaca panas ekstrem, kebakaran terbuka, dan jerebu rentas sempadan.
“Pendekatan kerajaan bukan lagi bersifat menunggu sehingga sesuatu insiden berlaku, tetapi memberikan penekanan kepada tindakan awal, pengurangan risiko serta kesiapsiagaan secara menyeluruh. Semua agensi telah mengambil tindakan yang perlu.” Katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi MetMalaysia, Ambun Dindang mengesahkan pihaknya sedang memantau rapat unjuran data antarabangsa berhubung suhu permukaan laut di Lautan Pasifik.
“Berdasarkan model iklim semasa, fenomena “Super El Nino” dijangka mula berkembang pada November tahun ini sebelum memberikan kesan kepada Malaysia pada awal tahun hadapan. Semakin hampir tempoh kejadian, data yang diperoleh akan menjadi lebih tepat.”
Perkembangan terkini itu dikongsikan pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Bersama Media: Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MBD 2026 di Puchong.
Sesi libat urus strategik itu turut melibatkan komitmen bersepadu daripada lima agensi utama lain termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, JPS, serta JMG demi memastikan keselamatan dan kesihatan awam kekal terpelihara.–AlHijrah Online