Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SINDIKET VAPE BERISI DADAH TUMPAS, BERNILAI LEBIH RM34 JUTA

JENAYAH

SINDIKET VAPE BERISI DADAH TUMPAS, BERNILAI LEBIH RM34 JUTA

Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah disyaki jenis furanylfentanyl yang diisi ke dalam kartrij rokok elektronik atau vape menerusi tiga serbuan di sekitar Padang Besar dan Arau minggu lalu, dengan rampasan bernilai lebih RM34.31 juta.

PADANG BESAR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah disyaki jenis furanylfentanyl yang diisi ke dalam kartrij rokok elektronik atau vape menerusi tiga serbuan di sekitar Padang Besar dan Arau minggu lalu, dengan rampasan bernilai lebih RM34.31 juta.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, operasi itu turut membawa kepada penahanan seorang wanita warga Thailand berusia 38 tahun serta dua lelaki tempatan masing-masing berusia 68 dan 55 tahun.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah stor penyimpanan barang di Kampung Panggas pada 1 Julai, polis menahan wanita terbabit dan merampas 172 kotak mengandungi 75,540 kartrij vape berisi dadah disyaki furanylfentanyl dengan jumlah keseluruhan 188.85 liter.

“Susulan tangkapan itu, polis menahan lelaki berusia 68 tahun di Kampung Guar Musang, Bukit Keteri, keesokannya dan merampas 35 kotak mengandungi 21,000 kartrij vape disyaki berisi dadah sama sebanyak 39.9 liter,” katanya pada sidang media hari ini.

Muhammad berkata, seorang lagi lelaki berusia 55 tahun ditahan pada 3 Julai dalam serbuan di sekitar Ulu Pauh, Arau.

Keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan mampu digunakan kira-kira 457,500 orang.

“Sindiket itu dipercayai menggunakan stor penyimpanan barang dan rumah kediaman sebagai lokasi transit sementara sebelum kartrij vape mengandungi dadah itu dihantar ke negara jiran,” katanya.

Tambahnya, lelaki berusia 55 tahun itu didapati positif dadah, manakala semakan turut mendapati kedua-dua lelaki terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Ketiga-tiga suspek kini direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket itu. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in JENAYAH

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading