
DAMSYIK: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, terselamat dari insiden dua letupan bom berhampiran hotel penginapannya di Damsyik, Syria, hari ini.
Insiden yang mencederakan sekurang-kurangnya 18 orang itu berlaku sejurus selepas kenderaan rasmi beliau meninggalkan lokasi kejadian untuk bertemu Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa.
Menurut media rasmi Syria, letupan berkenaan menyasarkan kawasan tumpuan ramai yang terletak di antara Kementerian Pelancongan dan Muzium Negara, iaitu bertentangan dengan Hotel Four Seasons, tempat di mana Macron mengadakan pertemuan dengan kumpulan masyarakat sivil.
Agensi berita rasmi Syria melaporkan, sekurang-kurangnya 18 cedera termasuk empat anggota polis.
Pihak Istana Elysee dalam satu kenyataan mengesahkan, letupan berkenaan tidak didengari oleh Macron mahupun delegasi media Perancis yang mengiringi beliau. Konvoi Presiden dilaporkan sudah berada di lebuh raya menuju ke Istana Presiden semasa insiden berlaku.
Macron meneruskan jadual lawatan rasminya seperti biasa dan dilihat mengadakan pertemuan serta sesi bergambar bersama Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, sejurus selepas kejadian.
Insiden ini sekali gus menggambarkan cabaran keselamatan yang besar di Syria. Macron merupakan ketua negara pertama dari kesatuan Eropah (EU) yang melawat negara itu sejak kumpulan penentang pimpinan Sharaa menggulingkan rejim Bashar al-Assad pada tahun 2024.
Susulan kejadian, pasukan keselamatan dalaman Syria telah menutup laluan utama dan melancarkan operasi memburu dalang di sebalik serangan berkenaan—Alhijrah Online