SYARAT BAHARU UMRAH, ARAB SAUDI MINTA PATUH

KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi membuat ketetapan baharu menetapkan had umur bagi ibadah umrah selepas permit kebenaran untuk jemaah luar dibuka semula 1 November ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, semua pihak (jemaah dan pengendali) perlu patuh dan akur dengan ketetapan baharu itu.

“Jika itu syarat ditetapkan, kita perlu akur kerana kerajaan mereka lebih tahu bagaimana keadaan COVID-19 di sana.

“Berkaitan jemaah umrah di Malaysia, pihak kerajaan sehingga hari ini belum memutuskan secara rasmi bagaimana mekanisme (digunakan) sekiranya dibenarkan nanti,” katanya.

Arab Saudi membenarkan jemaah luar berusia antara 18 hingga 50 tahun mengerjakan ibadah umrah selepas mengumumkan permit kebenaran dibuka mulai 1 November ini.

Ahmad Marzuk berkata, perkara berkenaan belum dibawa ke Kabinet berikutan tumpuan diberikan kepada sidang Parlimen dan kedudukan kerajaan yang sedang hangat diperkatakan.

Kelonggaran peraturan termasuk had umur dan jumlah jemaah akan dipertimbangkan, jika penularan pandemik COVID-19 turun dan terkawal di Arab Saudi.

“Jika sudah terkawal nanti, berkemungkinan Arab Saudi membenarkan umrah dibuka untuk semua kategori umur.

“Saya sarankan umat Islam bersabar dan tunggu perkembangan semasa COVID-19, jika ia bertambah baik berkemungkinan ada kelonggaran had umur diberikan,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply