BAS PERCUMA DI PUTRAJAYA BERMULA 1 NOVEMBER

PUTRAJAYA: Penduduk Putrajaya bakal menikmati perkhidmatan bas percuma di kawasan Wilayah Persekutuan itu bermula 1 November ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Rosida Jaafar berkata, sebanyak RM12 juta setahun akan diperuntukkan bagi inisiatif bas percuma, merangkumi 30 buah bas serta 12 laluan bas Nadi Putra di sekitar Putrajaya.

Kemudahan yang disediakan menerusi KWP Perbadanan Putrajaya (PPj) antara salah satu inisiatif di bawah Wilayah Prihatin bagi mengurangkan beban sara hidup khususnya warga Putrajaya.

“Pada masa yang sama, perkhidmatan percuma ini juga dapat menggalakkan aktiviti pelancongan domestik di Putrajaya yang membantu memulihkan ekonomi setempat ekoran pandemik COVID-19,” katanya selepas pelancaran perkhidmatan bas percuma itu, hari ini.

Tambahnya, RM1.50 akan dicaj kepada penumpang bas bukan warganegara.

Aspek prosedur operasi standard (SOP) perlu diikut bagi mencegah penularan COVID-19 seperti penjarakan tempat duduk , pengurangan kapasiti penumpang, pengambilan suhu badan serta pendaftaran MySejahtera.

Laluan perkhidmatan utama iaitu T500 bermula di Kompleks E dan akan melalui kompleks kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Presint 1 (Kompleks A, B, C, D dan E) dan Persiaran Perdana (Presint 2 dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang di Presint 4.

Bagi 11 laluan perkhidmatan selebihnya pula akan melalui kawasan perumahan, komersial dan pejabat selain di Presint 1 hingga Presint 4, dengan kekerapan setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu dan cuti umum.

Selain Putrajaya Sentral sebagai stesen utama, dua hentian iaitu Kompleks E di Presint 1 dan Dataran Gemilang di Presint 4 akan dijadikan sebagai transit yang menghubungkan laluan perkhidmatan utama dengan beberapa laluan perkhidmatan yang lain bagi memudahkan penumpang.–AlHijrah Online

Leave a Reply