Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SYED SADDIQ BEBAS ATAU KE PENJARA? KEPUTUSANNYA HARI INI

UTAMA

SYED SADDIQ BEBAS ATAU KE PENJARA? KEPUTUSANNYA HARI INI

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman hari ini bagi mendengar keputusan rayuan akhir pendakwaan yang akan menentukan sama ada beliau kekal bebas atau menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman hari ini bagi mendengar keputusan rayuan akhir pendakwaan yang akan menentukan sama ada beliau kekal bebas atau menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Syed Saddiq, 33, tiba kira-kira pukul 8.50 pagi dengan diiringi ibu bapanya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff, serta tunangnya yang juga aktres, Bella Astillah.

Pengamal media dan anggota keluarga Syed Saddiq dilihat berada di pekarangan Istana Kehakiman seawal pukul 7 pagi.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan pada pukul 9 pagi.

Keputusan itu sepatutnya diumumkan pada 30 Jun lalu, namun ditangguhkan berikutan Hakim Che Mohd Ruzima bercuti sakit.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada keempat-empat pertuduhan selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan tersebut.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu merupakan Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali ganda nilai wang yang terbabit, jika sabit kesalahan. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading