TANAH RUNTUH BATANG KALI: EMPAT MAYAT DITEMUKAN, ANGKA KORBAN KINI 30 ORANG

BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali yang memasuki hari ketujuh hari ini, menemukan empat lagi mayat pagi ini.

Penemuan terbaharu setakat 11.50 pagi itu menjadikan jumlah korban tragedi kini seramai 30 orang.

Penemuan empat mayat berkenaan yang masih belum didedahkan jantina serta umur itu disahkan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah kepada Bernama di sini.

Terdahulu, operasi pencarian bersambung semula pada kira-kira 8 pagi tadi, selepas ditangguhkan pada pukul 10 malam semalam.

Setakat ini, tiga mangsa masih hilang manakala 61 terselamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang dilaporkan terlibat.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, daripada keseluruhan mangsa terlibat, 29 adalah kanak-kanak dan 65 dewasa.–AlHijrah Online

Leave a Reply