TV ALHIJRAH MENANG ANUGERAH PESANAN KHIDMAT AWAM TERBAIK MCMC

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen Islam utama negara TV AlHijrah diumum pemenang Anugerah Pesanan Khidmat Awam Terbaik untuk Televisyen (swatsa) sempena MCMC Star Rating Awards 2021 yang diadakan malam semalam.

Anugerah yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek itu diterima oleh Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah Saifulizan Sidek.

Penganugerahan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu mengambil kira syarat-syarat ketat yang meliputi keperluan kawal selia, kepuasan pengguna dan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.

Saifulizan berkata, anugerah itu satu penghargaan kepada TV AlHijrah atas usaha dan sifat prihatin terhadap keperluan masyarakat melalui kandungan televisyen.

“Sebagai sebuah stesen televisyen Islam kita sentiasa berusaha menghasilkan kandungan-kandungan bermanfaat dan diperlukan rakyat terutama dari sudut rohani.

“Usaha seperti itu pastinya akan kami teruskan dan anugerah ini satu motivasi kepada warga kerja TV AlHijrah,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Selain TV AlHijrah, 19 lagi anugerah lain-lain kategori disampaikan kepada 23 penerima yang layak di majlis yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Timbalannya Teo Nie Ching.

Anugerah yang dianjurkan dua tahun sekali ini memberi pengiktirafan kepada pemegang lessen di bawah bidang kuasa MCMC.

Ia diadakan untuk mengalakkan persaingan sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan dan memastikan perkhidmatan yang terbaik disediakan kepada pengguna. – AlHijrah Online

Leave a Reply