TEMPOH KUARANTIN DIMANFAAT TELITI LAPORAN AGENSI -ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri memanfaatkan tempoh 14 hari kuarantin dengan meneliti laporan bulanan prestasi agensi-agensi di bawah tanggungjawab beliau.
Zulkifli antara menteri kabinet yang diarahkan menjalani kuarantin sejak 22 Mei hingga 3 Jun depan selepas salah seorang pegawai yang hadir pada Mesyuarat Pasca-Kabinet pada 20 Mei lalu disahkan positif COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat itu turut menjalani kuarantin di rumah selaras Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342).
“Tempoh kuarantin bagi semua ahli Mesyuarat Pasca-Kabinet tempohari sehingga 3 Jun dimanfaatkan bagi meneliti laporan bulanan semua agensi di bawah Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama).
“Sudah menjadi kelaziman sejak Mac 2020, semua agensi di bawah saya wajib menyerahkan laporan bulanan bagi tujuan penilaian prestasi semasa. InsyaAllah Kad Laporan Mei 2020 bagi Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) akan dikeluarkan pada awal Jun,” kata Zulkifli dalam entri terkini beliau di Facebook hari ini.
Menteri agama itu berkata beliau juga sempat meneliti beberapa pelan tindakan segera untuk dilaksanakan berhubung kait urusan agama Islam di peringkat Persekutuan.
“Teruskan berdoa dan patuhi SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan arahan Majlis Keselamatan Negara di mana jua anda berada,” kata Zulkifli.
Semalam, Malaysia mencatat jumlah kes positif paling rendah dengan 15 kes sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 7,619 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 1,421 kes. — AlHijrah Online