
KUALA LUMPUR: Prestasi kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat semakin kukuh, didorong peningkatan prestasi pelaburan, kecekapan operasi serta pengurusan aset yang lebih berdisiplin.
Menurut Pengarah Program MBA dan DBA, Putra Business School (PBS), Profesor Dr Razman Abdul Latiff, perkembangan itu memberi petunjuk positif terhadap keupayaan TH menjaga kepentingan jutaan pendeposit dalam jangka panjang.
Katanya, antara perkembangan ketara yang dapat dilihat ialah peningkatan deposit, pulangan pelaburan serta keupayaan TH menyalurkan agihan keuntungan kepada pendeposit.
“Prestasi pasaran yang kekal positif serta aset pelaburan yang lebih baik diuruskan, selain usaha meningkatkan kecekapan dari segi pengurusan kos, turut menyumbang kepada prestasi tersebut.
“Kepelbagaian portfolio juga penting kerana ia membantu Tabung Haji mengimbangi risiko dan pulangan,” katanya.
Beliau berkata, prestasi pasaran yang positif sememangnya menyumbang kepada pulangan pelaburan, namun TH tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada prestasi pasaran dalam jangka pendek.
Agihan keuntungan yang baik boleh menjadi petunjuk positif terhadap kedudukan kewangan TH, namun kemampanan sebenar perlu dinilai berdasarkan keupayaan institusi itu menjana keuntungan secara konsisten.
Ia perlu disokong prestasi pelaburan yang kukuh serta kedudukan kewangan yang sihat.
Dalam pada itu, pengiktirafan dan anugerah yang diterima TH, termasuk Labaytum Diamond Award, dilihat sebagai petunjuk positif terhadap peningkatan dari segi pengurusan, inovasi dan tadbir urus organisasi.
Bagaimanapun, Razman menegaskan pengiktirafan berkenaan tidak seharusnya dijadikan matlamat utama.
“Ukuran sebenar kejayaan ialah sama ada penambahbaikan itu diterjemahkan kepada prestasi kewangan yang mampan, pengurusan yang telus dan tahap keyakinan pendeposit yang semakin kukuh,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan TH supaya terus memperkukuh aspek tadbir urus, pengurusan risiko dan ketelusan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi serta pasaran global.
Langkah itu penting bagi memastikan momentum positif TH dapat dikekalkan, selaras dengan tanggungjawabnya mengurus amanah jutaan pendeposit. — AlHijrah Online