Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MIHAS 2026: SASARAN JUALAN DINAIKKAN KEPADA RM5 BILION

EKONOMI

MIHAS 2026: SASARAN JUALAN DINAIKKAN KEPADA RM5 BILION

Peningkatan sasaran itu mengambil kira respons luar biasa daripada pembeli antarabangsa, dengan lebih 500 permohonan diterima berbanding sasaran awal sebanyak 300 pembeli dan pengimport.

KUALA LUMPUR: Sasaran jualan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026 dinaikkan kepada RM5 bilion berbanding RM4.5 bilion sebelum ini, susulan sambutan menggalakkan daripada pembeli dan pengimport antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Abu Bakar Yusof berkata, peningkatan sasaran itu mengambil kira respons luar biasa daripada pembeli antarabangsa.

“ Kita telah menyemak semula sasaran daripada RM4.5 bilion kepada RM5 bilion. Jadi, sasaran kita untuk MIHAS kini ialah RM5 bilion.

“Kita menerima lebih 500 pembeli dan pengimport antarabangsa, berbanding sasaran awal kita hanya 300. Daripada jumlah itu, sebahagiannya merupakan pembeli berulang, manakala sebahagian lagi merupakan pembeli baharu dari seluruh dunia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Konvensyen Badan Pensijilan Halal sempena Global Halal Summit (GHaS) 2026 turut merekodkan penyertaan memberangsangkan apabila menghimpunkan 96 badan dan pihak berkuasa pensijilan halal dari 49 negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimi berkata, penyertaan itu melibatkan pihak berkuasa dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Türkiye dan Maghribi, selain badan pensijilan dari Singapura, Brunei serta beberapa negara lain.

Beliau berkata, permintaan daripada pihak industri turut meningkat, khususnya untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai proses pensijilan halal serta kaedah produk tempatan menembusi pasaran global.

“Kita menerima banyak permintaan daripada pihak industri kerana mereka sendiri mahu mendapatkan maklumat secara langsung mengenai bagaimana produk mereka boleh diperakui halal dan bagaimana mereka boleh menembusi pasaran global.

“Dengan pensijilan halal Malaysia, mereka boleh pergi ke luar negara. Bukan sahaja untuk berdagang dengan Malaysia atau menghantar produk ke Malaysia, tetapi juga boleh memasuki pasaran negara-negara lain dengan pensijilan halal Malaysia,” katanya.

Peningkatan sasaran jualan MIHAS 2026 dilihat mencerminkan potensi besar industri halal Malaysia di peringkat global, selain memperkukuh kedudukan negara sebagai antara pemain utama dalam ekosistem halal dunia.

Dalam masa sama, penyertaan badan dan pihak berkuasa pensijilan halal dari 49 negara pada GHaS 2026 mencerminkan kepentingan pensijilan halal Malaysia dalam membantu produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in EKONOMI

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading