
PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia mengkaji cadangan untuk menggabungkan elemen Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi mewujudkan sistem percukaian yang lebih progresif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bagaimanapun akan terus mengekalkan SST sebagai sistem percukaian negara, namun beberapa ciri dalam GST boleh dipertimbangkan sekiranya sesuai untuk dilaksanakan.
“Tetapi saya tidak mahu bertolak ansur dalam satu hal… saya tidak mahu cukai ke atas rakyat secara menyeluruh sepertimana pangkal (asas) pandangan dalam GST,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi penutup Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau pada dasarnya tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST kerana sistem itu melibatkan cukai yang dikenakan secara lebih meluas kepada seluruh rakyat.
“Kalau bercakap mengenai GST sahaja, yang saya bimbangkan, dan telah saya lahirkan kebimbangan ini berulang kali ialah, (cukai) ini nak cukai rakyat.
“Walaupun ada yang mengatakan cukai ini (lebih) efisien, tetapi ia cukai (kepada) rakyat, maknanya orang yang tidak pernah bayar cukai, mesti bayar. Bagaimana kita mahu menjawab dalam keadaan sekarang? Dengan kos sara hidup, (ia akan menjadi) beban kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour; serta pegawai kanan kerajaan, wakil industri, persatuan, badan bukan kerajaan dan tokoh ekonomi.
Bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini. — AlHijrah Online.