Connect with us

ALHIJRAH NEWS

CUKUP SIMPANAN RM15,000, PENDEPOSIT TH LAYAK MASUK GILIRAN HAJI SECARA AUTOMATIK

EKONOMI

CUKUP SIMPANAN RM15,000, PENDEPOSIT TH LAYAK MASUK GILIRAN HAJI SECARA AUTOMATIK

Pendeposit TH dengan baki simpanan minimum RM15,000 akan layak berada dalam giliran haji secara automatik, manakala mereka yang sudah mendaftar diberi tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai jumlah berkenaan.

KUALA LUMPUR: Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang mempunyai baki simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 akan layak berada dalam giliran haji secara automatik menerusi Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah yang diperkenalkan hari ini.

Pendeposit yang sudah mendaftar haji pula diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai sasaran simpanan minimum berkenaan sebelum sistem giliran disusun semula mulai 1 Januari 2029 berdasarkan tarikh pendaftaran dan pencapaian baki RM15,000.

TH memaklumkan pendekatan baharu itu tidak menjejaskan prinsip siapa dahulu, didahulukan atau first-come, first-served.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata inisiatif berkenaan diperkenalkan selepas mengambil kira maklum balas pendeposit yang mahukan panduan lebih jelas dalam membuat persediaan menunaikan haji.

“Kami telah mendengar maklum balas daripada pendeposit di seluruh negara. Ramai yang mahukan garis panduan yang lebih jelas dan laluan persediaan yang lebih tersusun.

“Inisiatif ini adalah untuk membantu umat Islam di Malaysia menterjemahkan niat kepada tindakan. Mereka yang menyimpan secara konsisten dan membuat perancangan awal bersama kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merealisasikan impian menunaikan Haji,” katanya.

Menurut TH, hampir 50 peratus pendeposit yang menerima surat tawaran haji sebelum ini terpaksa menangguhkan hasrat mereka, manakala kos menunaikan haji kini mencecah RM33,300 seorang.

Bagaimanapun, pengenalan syarat baki minimum RM15,000 untuk menerima surat tawaran sejak 2025 menyaksikan kadar penangguhan menurun kepada 18 peratus berbanding purata 50 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata Seruan Istito’ah bertujuan membantu pendeposit membuat persediaan secara lebih tersusun dan memulakan perancangan lebih awal.

“Matlamat kami adalah untuk membantu lebih ramai umat Islam Malaysia merealisasikan perjalanan seumur hidup ini melalui persediaan yang tersusun dan terancang bersama Tabung Haji sebagai institusi simpanan Islam pilihan,” katanya.

TH turut akan memperkenalkan kemudahan Multi Tabung menerusi Tabung Am dan Tabung Istito’ah bagi membolehkan pendeposit mengasingkan simpanan khusus untuk persediaan haji.

“Mulai 19 September 2026, kami memperkenalkan Tabung Istito’ah bagi membantu rakyat Malaysia membentuk disiplin simpanan secara lebih sistematik dan berfokus,” kata Mustakim. —  AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

1 Comment

1 Comment

  1. Anonymous

    14 September 2026 at 8:47 AM

    ASALAMUALAIKUM…Saya ada simpanan 35k dlm akaun tabung haji..mcm nana cara mohon utk pakej haji 2027/28.
    TKSH

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in EKONOMI

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading