
IPOH: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke sebuah sungai untuk mendapatkan semula botnya yang hanyut di Sungai Perak dekat Bota Kiri, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5 petang, sebelum menggerakkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, BBP Parit dan BBP Kampung Gajah ke lokasi.
Beliau berkata sebaik jentera tiba di lokasi pada 5.25 petang, mereka dimaklumkan lelaki berusia 38 tahun itu terjun ke sungai bagi mendapatkan semula botnya yang hanyut dari sangkar ikan miliknya di tepi Sungai Perak.
“Anak saudara mangsa cuba menghulurkan bantuan, namun tidak berjaya menyelamatkannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, operasi carian di permukaan tebing sungai bersama orang awam sehingga 9.45 malam masih belum menemui mangsa.
Tambahnya, perasi itu turut melibatkan anggota BBP Parit dan Kg Gajah, dengan PKB didirikan di Stesen Pam Lambor Kiri.
“Operasi pencarian disambung pada 8 pagi ini dengan bantuan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Teluk Intan dan empat anggota PPDA dari BBP Pulau Pangkor. Pasukan Khas K9 turut akan membantu pencarian mangsa,” ujarnya. –AlHijrah Online.