
PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri akan didakwa dengan tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin depan susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penemuan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tiga pertuduhan itu disyorkan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalah guna harta dengan curang.
Menurutnya, bekas menteri berkenaan turut mempunyai kaitan dengan aset di Arab Saudi.
Setakat ini, lima individu telah didakwa di mahkamah susulan penemuan laporan RCI TH, melibatkan bekas Timbalan Pengurus Besar Pembinaan TH Properties Sdn Bhd, bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan TH Properties Sdn Bhd, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Maritim Sdn Bhd serta bekas Ketua Pegawai Operasi TH.
Daripada 14 kertas siasatan yang dibuka SPRM sebelum ini, enam telah diselesaikan dengan dua membawa kepada pertuduhan, manakala empat lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
Abd Halim berkata, lapan lagi kertas siasatan dibuka atas inisiatif SPRM hasil penemuan laporan RCI TH, termasuk siasatan terhadap pelaburan yang didapati meragukan dan mengecewakan.
“Setakat ini, kita telah perakukan tiga termasuk yang akan didakwa Isnin ini, selebihnya masih dalam proses kerana melibatkan entiti luar negara seperti Arab Saudi dan Singapura.
“Proses itu mengambil masa kerana kita perlu melalui proses bantuan perundangan bersama, mendapatkan dokumen daripada pihak luar negara dan merakam percakapan,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abd Halim menafikan dakwaan terdapat pemimpin kanan UMNO yang akan dipanggil memberi keterangan kepada SPRM selepas Perhimpunan Agung UMNO minggu depan.
“Saya pun tidak pasti dari mana berita itu boleh sampai… tidak ada dalam senarai kita sekalipun maklumat penyiasatan terhadap pemimpin UMNO dilakukan pada minggu hadapan,” katanya.
Sebelum ini, media difahamkan seorang lagi pemimpin kanan UMNO akan dipanggil SPRM minggu depan bagi membantu siasatan kes susulan penemuan laporan RCI TH.
Menurut sumber, pemimpin yang memegang kedudukan penting dalam UMNO itu diberi “masa” untuk menyelesaikan urusan perhimpunan agung parti berkenaan yang berlangsung dari 9 hingga 12 Sept ini. — AlHijrah Online