Connect with us

ALHIJRAH NEWS

NAIK TARAF ASET DAN KAJI SEMULA ELAUN RM30 PETUGAS KESIHATAN

UTAMA

NAIK TARAF ASET DAN KAJI SEMULA ELAUN RM30 PETUGAS KESIHATAN

MMA menggesa kerajaan memastikan aset pengangkutan perubatan memenuhi piawaian keselamatan serta mengkaji semula elaun RM30 bagi petugas Perkhidmatan Kesihatan Udara yang diguna pakai sejak 1978.

IPOH: Kerajaan digesa memastikan aset pengangkutan perubatan memenuhi piawaian keselamatan, selain mengkaji semula Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara sebanyak RM30 yang diguna pakai sejak 1978.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata, nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak yang meragut nyawa empat petugas kesihatan dan seorang juruterbang baru-baru ini perlu menjadi titik perubahan dalam memperkukuh standard keselamatan pengangkutan perubatan di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan perlu memastikan semua aset yang digunakan untuk membawa petugas kesihatan memenuhi piawaian keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan ketika menjalankan tugas di lapangan.

“Penilaian terhadap jangka hayat aset, rekod penyelenggaraan, pensijilan keselamatan, peralatan kecemasan serta kesesuaiannya dengan muka bumi dan cuaca perlu diteliti secara berkala oleh pihak berwajib.

“Tiada pengangkutan seperti pesawat, ambulans mahupun bot yang harus digunakan semata-mata kerana ia tersedia atau terikat dengan kontrak, kebajikan dan keselamatan petugas kesihatan mesti sentiasa menjadi keutamaan tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvokesyen Kebangsaan MMA dan Kongres Saintifik 2016 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara sebanyak RM30 juga perlu disemak semula kerana kadar itu sudah tidak selari dengan persekitaran kerja serta risiko semasa.

“Bayaran insentif RM30 mesti dikaji semula secara menyeluruh bagi memastikan perlindungan mencukupi dan adil diberikan kepada mereka yang menjalankan tugas berisiko tinggi, tanpa mengira kategori perkhidmatan.

“Manakala perlindungan insurans ini mesti diberikan tanpa mengira sama ada petugas berjawatan tetap, kontrak atau diambil bekerja melalui pengendali yang dilantik,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan perlindungan insurans perjalanan dan kemalangan diri khusus disediakan kepada setiap petugas kesihatan yang menjalankan tugas rasmi sama ada di udara, darat mahupun laut.

Pada 8 Sept lalu, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, mengorbankan empat petugas kesihatan negara dan seorang juruterbang. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading