“TIDAK PAKAI PELITUP MUKA, ITU PILIHAN SAYA” – ‘KAREN’

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga asing yang membuat kecoh di hadapan butik sebuah pusat beli-belah selepas dilarang masuk kerana tidak memakai pelitup muka, berpendapat tindakan tersebut merupakan pilihannya sendiri.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Twitter @117WeThePeople menunjukkan Kerry atau ‘Karen Dior’ bercakap mengenai kebebasan dan hak membuat pilihan.

“Lagu kita ialah kebebasan, kebebasan untuk pilih apa kita makan, ke mana kita pergi, kita pergi dengan siapa, apa kita lakukan kepada badan kita secara perubatan atau sebaliknya. Ia adalah pilihan, pilihan anda, pilihan saya.

“Banyak negara sudah tarik balik mandat (pakai pelitup muka), ada pautan di bawah, anda dijemput baca dan nyatakan pendapat anda,” katanya dalam video di Twitter tersebut.

Sementara itu, reaksi warga net di ciapan tersebut rata-ratanya tidak berpuas hati terhadap Karen yang enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

Salah seorang artis tempatan, Diana Danielle turut memberi respon terhadap video tersebut.

“Anda boleh pergi ke negara di mana mereka tidak menggunakan undang-undang ini, tetapi di negara ini menjaga kesihatan satu sama lain adalah lebih penting daripada ‘keperluan’ individu.

“Anda boleh menjangkiti orang lain jika anda keluar tanpa memakai pelitup muka. Banyak negara Eropah bergelut dengan peningkatan kes berikutan kebebasan pilihan tanpa had itu,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata wanita warga asing itu dikenakan dua kompaun masing-masing berjumlah RM1,500.

Kompaun itu dikeluarkan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah- Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 bagi kedua-dua kesalahan.

Tindakan Karen tersebut tular di media sosial selepas videonya yang dilihat membuat kecoh selepas dilarang memasuki sebuah butik di pusat beli-belah kerana tidak memakai pelitup muka.—AlHijrah Online

Leave a Reply