TIGA LELAKI DITAHAN BANTU SIASATAN RUSUHAN DI KOTA MASAI

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki hari ini bagi membantu siasatan kejadian rusuhan yang melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi diterbalikkan oleh sekumpulan individu di sebuah stesen minyak di Kota Masai, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata kesemua yang berusia 17 hingga 24 tahun ditahan berasingan antara 10.45 pagi hingga 12 tengah hari tadi di Jalan Bunga Raya, Masai dan Jalan Tembikai, Taman Kota Masai.

Beliau berkata kekecohan pada 9.40 malam itu dipercayai berpunca daripada kemalangan antara pemandu Perodua Myvi tersebut iaitu lelaki berusia 21 tahun dengan sebuah motosikal ditunggang lelaki penghantar makanan berusia 21 tahun.

Menurut Mohd Sohaimi kedua-duanya cedera namun berada dalam keadaan stabil.

“Selepas kejadian (kemalangan), kereta mangsa telah dirosakkan dan diterbalikkan oleh sekumpulan individu tidak dikenali bagaimanapun, kita masih menyiasat punca kejadian rusuhan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta polis sedang giat mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam rusuhan itu.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video menerusi aplikasi TikTok dan Facebook memaparkan kekecohan berlaku di stesen minyak itu dan sekumpulan individu dilihat menterbalikkan Perodua Myvi tersebut.–AlHijrah Online

Leave a Reply