Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TIGA PESERTA RXZ MEMBERS 8.0 BERUSIA 16 TAHUN DITAHAN BAWA AIR KETUM

UTAMA

TIGA PESERTA RXZ MEMBERS 8.0 BERUSIA 16 TAHUN DITAHAN BAWA AIR KETUM

Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun ditahan selepas polis menemukan dua botol berisi cecair disyaki air rebusan daun ketum dalam sebuah van sempena penugasan keselamatan RXZ Members 8.0, semalam.

KUALA TERENGGANU: Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun ditahan selepas polis menemukan dua botol berisi cecair disyaki air rebusan daun ketum dalam sebuah van sempena penugasan keselamatan RXZ Members 8.0, semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 16 hingga 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.45 malam selepas sebuah van Toyota Hiace diperiksa di susur keluar Stadium Sultan Mizan, Gong Badak.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan dua botol mengandungi cecair disyaki air rebusan daun ketum dengan anggaran keseluruhan 600 mililiter. Polis turut merampas sebuah van Toyota Hiace serta satu anak kunci bersama alat kawalan jauh.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek bukan berasal dari Terengganu dan dipercayai datang ke negeri ini sempena program RXZ Members 8.0. Air ketum yang dirampas juga dipercayai dibawa masuk dari luar Terengganu untuk kegunaan mereka sepanjang berada di negeri ini bagi menghadiri program berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine, manakala seorang lagi negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan semua suspek direman bagi membantu siasatan.

Susulan tangkapan itu, polis menjalankan pemeriksaan di tujuh rumah dan resort yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan. Seramai 14 individu, terdiri daripada 13 lelaki dan seorang wanita, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu bagi pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, tiada barang atau bahan menyalahi undang-undang ditemukan, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua mereka didapati negatif dadah.

Dalam perkembangan sama, polis turut membuka kertas siasatan berhubung video tular yang memaparkan individu dipercayai menjual air ketum secara terbuka di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat Paka menghala ke Kuala Terengganu.

“Siasatan kini tertumpu kepada usaha mengenal pasti individu yang terlibat, mengesan sumber bekalan serta menentukan sama ada kedua-dua kejadian melibatkan individu atau rangkaian yang sama. Bagaimanapun, sebarang kaitan antara kedua-dua kejadian masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan,” katanya.

Mohd Khairi berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat sepanjang RXZ Members 8.0 bagi memastikan program itu berlangsung dengan selamat serta bebas daripada penyalahgunaan dan pengedaran dadah atau air ketum. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading