
AMPANG: Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji tidak menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi, mahupun reputasi negara sebagai antara pengurus haji terbaik di dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan, kerajaan sebaliknya memandang laporan berkenaan sebagai peluang untuk memperkasa dan memperkukuh keseluruhan aspek pengurusan institusi berkenaan.
“kita nampak pada hari ini Lembaga Tabung Haji telah mengalami satu perubahan yang sangat positif dengan rizabnya meningkat,kadar dividen meningkat dan juga tadbir urusnya lebih baik. Dan Alhamdulillah kita menyaksikan bagaimana kesan dan juga syor-syor yang telah pun disarankan kita telah laksanakan sebahagian besarnya”.
Mengulas lanjut mengenai langkah susulan, Dr. Zulkifli memaklumkan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini adalah untuk memperkemaskan kerangka perundangan, termasuk cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995.
“Kita telah pun mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dan Insyaallah kita akan mendapatkan maklum balas dan input untuk kita mengangkat institusi ini sebagai institusi terbaik.
Langkah ini penting bagi memastikan Tabung Haji terus kekal berdaya saing dan relevan sebagai institusi pengurusan kewangan serta jemaah haji tanah air yang diyakini.–AlhijrahOnline