Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

TUANKU MUHRIZ MAHU TINDAKAN TEGAS TERHADAP PIHAK MENYIMPANG DARIPADA ISLAM

DALAM NEGARA

TUANKU MUHRIZ MAHU TINDAKAN TEGAS TERHADAP PIHAK MENYIMPANG DARIPADA ISLAM

Baginda menyeru pihak berkuasa agama negeri untuk sentiasa memantau dan menyebarkan maklumat mengenai individu atau kumpulan yang menyebarkan ajaran sesat kepada masyarakat, bagi memastikan kejadian ajaran sesat seperti yang pernah dilaporkan, tidak berulang. 

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA PILAH: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mahu supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar mengikut Enakmen Syariah negeri.

Baginda menyeru pihak berkuasa agama negeri untuk sentiasa memantau dan menyebarkan maklumat mengenai individu atau kumpulan yang menyebarkan ajaran sesat kepada masyarakat, bagi memastikan kejadian ajaran sesat seperti yang pernah dilaporkan, tidak berulang. 

“Beta juga menyeru kepada rakyat beragama Islam, agar lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengikut sebarang pengajian ilmu agama. Ini penting untuk mengelakkan kita daripada mengikut ajaran yang salah dan mempunyai agenda terselindung di sebalik perkataan Islam,” titah baginda. 

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-77 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Selain itu, Tuanku Muhriz bertitah agar kerajaan negeri mengambil kira perkembangan terkini dalam memodenkan pentadbiran dan perancangan pembangunan negeri, memandangkan penguasaan teknologi juga merupakan satu daripada indikator dalam menilai kemajuan.

Baginda bertitah bahawa aplikasi teknologi terkini dalam pentadbiran mampu mengoptimumkan proses kerja, selain menjimatkan kos dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

“Justeru, penggunaan teknologi terkini perlulah diperkasakan dan dijadikan antara agenda utama pembangunan negeri. Langkah ini pasti akan melancarkan pelaksanaan program pembangunan yang akan meningkatkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi negeri,” titah baginda. 

Selain itu, Tuanku Muhriz menzahirkan harapan supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat memastikan sumber negeri dioptimumkan penggunaannya menerusi koordinasi semua pihak untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat. 

Tuanku Muhriz juga menzahirkan harapan agar pentadbiran kerajaan negeri dapat memastikan sumber negeri dioptimumkan penggunaannya melalui koordinasi semua pihak, demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

“Pengurusan alam sekitar yang cekap dan berkesan mampu mengurangkan risiko bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Justeru, usaha pembangunan mesti seiring dengan pemuliharaan alam sekitar agar negeri dapat diwariskan kepada generasi akan datang dalam keadaan yang  baik,” titah baginda.

Tuanku Muhriz juga menzahirkan penghargaan kepada barisan pentadbiran negeri, penjawat awam Persekutuan dan negeri serta pasukan keselamatan atas khidmat yang diberikan, dan menyeru mereka terus memberikan perkhidmatan terbaik secara telus, beretika dan berintegriti. 

Baginda turut menitahkan supaya penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri agar sentiasa memelihara imej, tatasusila, tingkah laku dan keperibadian bagi  menjaga kemulian dan pengiktirafan yang telah dikurniakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta bakti yang telah mereka berikan.

Istiadat hari ini, menyaksikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendahului senarai 555 penerima yang  dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) membawa gelaran Datuk Seri.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading